1978- 1983
Ibu kebiasaannya akan ke pekan Rantau Panjang atau ke seberang Sg. Golok pada setiap awal bulan atau setiap kali hasil getah dijual. Kami anak-anaknya akan menunggu dengan sabar di rumah menuntut ole-ole dari ibu. Memang itulah kebiasaannya. Dan biasanya ibu akan membeli mee goreng, nasi berlauk dan macam-macam lagi yang lain dari yang lain, memandangkan pada hari-hari biasa kami hanya akan memakan roti canai atau nasi semalam yang pada aku cukup sedap, tak perlu dihangatkan dan cukup menyelerakan . Jika dikenang kembali barulah aku sedar kenapa sekarang aku menyukai mee goreng, rupanya ia adalah satu makanan yang cukup mewah dan jarang-jarang diperolehi ketika kecil.
Pada ketika ini juga ibu akan membeli daging atau ayam dan beberapa barangan lain yang tidak termampu dibeli pada hari-hari biasa terutamanya ketika hujung bulan. Lauk kami pada kebiasaannya hanya ikan tuna(ikan aya atau tongkol) rebus dan digoreng. Tak dapat dibayangkan bertapa bosannya aku disua dengan lauk yang sama pada tiap-tiap hari, sehinggalah pada suatu hari terkeluar juga dari mulut aku `Ma, kenapa kita hari-hari makan ikan rebus je?' Dan masih terngiang di telinga ku, jawapan ibu `Jika nak makan lauk ayam dan yang sedap-sedap, kenalah belajar rajin-rajin' . Tapi aku? rajin belajar? Tidak pernah ada keinsafan di usia tersebut. Buktinya aku sanggup ponteng sekolah ketika hari pertama ibu membawa pulang sebuah tv hitam putih. Pada aku ia sesuatu yang patut dirai dan dirayakan.
Tahun 1982 hingga 1983, iaitu dari darjah 5 hingga 6 aku bersekolah di Sek.Ren. Keb. Paloh Kota Bharu. Aku tak tau kenapa, pada tahun 1982, kami berpindah ke Kota Bharu, Kampung Pintu Geng, kampung ibu. Bermulalah satu perjuangan baru untukku. Sekolah baru, kawan baru, suasana baru dan serba-serbi baru yang perlu diadaptasi semula oleh aku. Tapi itulah kehidupan, kena pandai dan cekal membawa diri.
Zaman persekolahan cukup mencabar kerana saingan cukup hebat. Aku kanak-kanak normal yang boleh dikategori tidak terlalu pandai dan tidak terlalu bodoh. Aku meminati mata pelajaran Bahasa Inggeris tapi aku cukup bodoh dalam mata pelajaran ini. Menulis dan membaca masih merangkak-rangkak dan aku cukup malu dengan kawan-kawan yang telah terkehadapan.Dengan usaha dan tekad untuk mengubah diri, aku belajar menyintai subjek ini, mula menanya individu yang arif, mula mendengar dan membaca dalam bahasa inggeris dan sebagainya. Ibu banyak memberi sokongan walaupun tidak berbentuk wang ringgit .
BERSAMBUNG....

No comments:
Post a Comment