Sekitar 1971-1981
Merupakan tahun-tahun permulaan untuk mengenal hidup. Tahun mula-mula merangkak untuk mengenal realiti. Saya dimaklumkan oleh ibu bahawa saya dilahirkan di Kota Bharu tetapi seingat akal saya membesar dan mula mengenal ABC di Rantau Panjang. Tahun 1971 saya dilahirkan setelah kelahiran saudara sulong perempuan pada tahun 1963 dan saudara lelaki pada 1968. Merupakan anak ke tiga sebelum ibu menutup tirai dengan seorang saudara lelaki pada tahun 1973.
Saya dilahirkan dari keluarga susah. Tapi pada usia semuda rebung apa erti kesusahan.Apa yang menjadi keutamaan ialah keseronokan menjadi diri sendiri.Tiada apa yang bermain di kepala, tiada rezeki yang perlu dicari, tiada kesusahan yang perlu dirintihi dan tiada masalah yang perlu diteliti. Seingat saya, ibu mencari rezeki dengan menoreh getah dan membuat kuih untuk jualan. Bapa di awal kehamilan ibu telah betolak ke Jerantut lantaran tuntutan pekerjaan. Menurut ibu, bapa pada mulanya tidak berhasrat untuk bekerja di Jerantut tapi atas desakan ibu yang bertalu agar bapa menerima tawaran tersebut kerana dari pengamatan ibu, bapa tidak mempunyai minat atau kecenderungan langsung untuk menjadi seorang penoreh getah.
Berada di alam ini adalah satu keseronokan. Membesar sebagai budak kampung yang banyak tidak diketahui melainkan alam sendiri. Pergaulan abang dan adik lelaki menyebabkan saya juga menjadi seperti sebahagian dari mereka. Di ketika ini kakak saya belajar di Kota Bharu demi mendapat didikan yang lebih terurus bersama makcik dan nenek sebelah ibu.
Kegiatan saya ketika di usia tersebut selain menyusahkan ibu,saya juga mengikut aktiviti saudara lelaki saya iaitu memancing, melastik burung, mandi sungai, bermain mak yung, wayang kulit, menjadi penoreh dan lain-lain aktiviti yang tidak terfikir olah akal. Saya juga menyukai binatang seperti kucing, kambing dan anjing. Masih kuat di ingatan macamana anjing yang dibela ibu untuk menjaga kediaman telah disalahgunakan oleh saya. Saya telah menganggapnya sebagai `pet' dengan mandi, bermain dan makan bersamanya. Berwarna tompokan hitam-putih, besar badannya dan amat garang tapi tidak pada tuannya.Ia akan menyalak bertalu-talu jika seseorang yang tidak dikenalinya menghampiri kawasan kediaman kami. Menurut ibu dia mendapat anjing tersebut dari seseorang dan telah membelanya dari kecil. Kebiasaannya dia akan ditambat pada tiang di hadapan rumah kami dan pada sebelah malamnya akan tidur di atas batu besar di belakang rumah. Anjing tersebut menurut ibu banyak jasanya, menemani ibu menoreh di awal subuh, menjaga rumah ketika ketiadaan penghuni dan sebagainya. Ibu akhirnya terpaksa menyerahkan anjing tersebut kepada seseorang kerana ianya terlalu garang dan menyebabkan kami menjadi ketakutan dan umpatan jiran. Ibu menangis, mungkin saya juga tapi di ketika itu, itu adalah keputusan yang tepat.
Rasanya membesarkan anak sendirian tanpa suami di sisi adalah satu cabaran yang cukup besar untuk ibu apa lagi dengan kegiatan kami yang cukup menguji kesabaran ibu. Di awal-awal tahun persekolahan ini juga saya cukup malas untuk ke sekolah, lebih seronok bermain. Adalah satu keseronokan yang tidak terhingga jika dapat ponteng sekolah dan menghabiskan masa dengan mandi sungai, masuk hutan dan lain-lain aktiviti yang langsung tidak bererti. Kebiasaanya saya juga terpaksa menemani ibu menoreh jika paginya masih terlalu kelam dan ibu memerlukan teman. Ibu tidak memberi upah sebaliknya saya akan meminta upah untuk tidak mau kesekolah. Di waktu itu pandangan saya mengenai sekolah ianya adalah sebuah penjara yang menyekat kebebasan.
Saya mula mengenal sekolah pada tahun 1978 iaitu sebagaimana yang diwajibkan oleh Kerajaan setelah berusia 7 tahun. Bersekolah dari darjah 1 hingga 4 di Sek. Ren. Keb. Rantau Panjang. Sekolah besar yang berhampiran dengan jalan yang besar Rantau Panjang dan juga Thailand. Agak merbahaya jika tidak berhati-hari dengan trafik. Selain dari warga dari Malaysia terdapat juga warga melayu siam yang belajar di kelas saya. Kebiasaanya kami akan berkolek ke seberang melalui Sg. Golok di waktu rehat untuk bersantai. Dengah dayuhan dari budak-budak yang seusia 6 dan 7 tahun kami merasakan ianya adalah cukup selamat dan selesa.
BERSAMBUNG.....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment