Saya telah menguruskan penghantaran kasut bola kepada anak buah saya Mohd. Saifullah yang berada di Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu secara poslaju. Lega rasanya, moga muat dan dia dapat bermain bola dengan selesa. Saya tidaklah menggalakkan sangat dia taksub dengan bolasepak cuma rasa seronok dapat mengembirakan dia. Saifullah atau panggilan saya kepadanya Saypol merupakan anak ketiga dari abang saya, Tak tahu kenapa saya begitu menyayanginya walaupun dari jauh. Mungkin juga kasih tercurah kepadanya suatu ketika semasa abang dan keluarga menginap di Kem Askar, Bandar Tun Hussien Onn, KL dan saya sering berulang alik ke sana. Dan sekarang mereka sekeluarga sudah berpindah ke Kota Bharu, hanya telefon dan sesekali surat menyusul menyambung kasih. Saypol seorang bayi yang comel suatu ketika dahulu(but anyway semua baby adalah comel - lantaran putih bersihnya tanpa mengutip secebis dosa)dan suka tersenyum. Hati kita akan menjadi sejuk, aman selesa ketika menatap wajahnya yang manis tersenyum. Masih teringat suatu ketika dulu kami menaiki PUTRA LRT dan beliau di pangkuan mamanya boleh tersenyum manis dengan orang yang tidak dikenalinya. Sekarang Saypol berumur 9 tahun, pewatakkan manisnya sudah semakin hilang diganti dengan kelam kehitaman kerana sering bermain bolasepak walaupun hari belum tentu petang. Kurus kering walaupun menurut mamanya beliau kuat makan. Timbul rasa hairan kerana ketika saya pulang bercuti dan takkala berkunjung ke rumahnya, memang beliau seorang yang kuat makan. Saya tidak pasti kemana pergi semua zat makanan yang ditelannya!!!
Sepatutnya semalam saya juga pergi ke Shah Alam sebagai `membayar hutang' kepada sahabat saya Wani. Memandangkan kami akan bergilir untuk melawat kediaman masing-masing dan sepatutnya semalam adalah giliran saya. Semuanya terbatal kerana kesihatan yang tak mengizinkan...sudah tua rupanya saya. Lain kali ya!
Memandangkan seharian berada di rumah dan mood untuk keluar dan menghiburkan diri tak ada, saya menghabiskan buku `The Witch Of Portobello' karya Paulo Coelho. Biasalah karya penulis hebat bukan dibaca sekadar untuk mengisi masa. Saya menyerahkan seluruh jiwa raga untuk memahami setiap patah yang terlahir dan terzahir dari penulis hebat ini. Setiap ayat yang dibaca, direnung pula pada diri. Sememangnya banyak yang terkena pada batang hidung sendiri
Pada Ahad, malamnya saya menyambung pula pembacaan buku Kuras-Kuras dari AA. Masih di Bab 4. Saya kagum dengan penulisnya kerana bakat dan kebolehannya dalam mengolah dan mengembangkan watak-watak dari individu-individu keliling yang rapat dengannya kepada satu karya kreatif yang hebat. Alangkah bagusnya jika saya juga boleh menjadi sehebat beliau, namun sehingga kini apa yang termampu dibuat ialah memasang angan angan dan entah bila akan menjadi kenyataan....:-(
Saya juga sudah lama berangan-angan untuk memiliki sebuah kamera digital sendiri untuk merakam kenangan terutama takkala bersama anak2 buah di musim perayaan. Sungguh pelik bin hairan dan ajaib kerana saya masih gagal untuk memiliki kamera.Wah hal ianya bukanlah sesuatu yang mahal dan tidak mampu dimiliki. InsyaAllah jika semuanya berjalan lancar saya berazam untuk membelinya dalam tahun ini iaitu sebelum Hari Raya Puasa menjelang.

No comments:
Post a Comment