Keinginan dan kecintaan saya untuk menulis membuak-buak rasanya. Sesuatu yang saya tak pasti ialah samada saya ingin menulis dalam bahasa malaysia atau bahasa inggeris. Saya mencintai kedua-dua bahasa ini dan kebiasaanya sebagai rakyat malaysia biasa dan kebiasaan dari rakyatnya ialah bertutur dalam kedua-dua bahasa ini samada dengan mencampuradukkannya.
Nama saya Muhaizan. Seorang perempuan yang dilahirkan pada 31.3.1971 di Kota Bharu Kelantan. Sebelum cerita berkisar mengenai diri sendiri, saya suka memperkenalkan kedua Ibu Bapa yang penuh penat lelah membesarkan saya sehingga berlanjutan ke usia ini.
Ibu saya Zabidah@Bidah Ismail. Berasal dari Kota Bharu dan dilahirkan pada tahun 1936. Ibu saya dibesarkan oleh neneknya dimana semasa kecil terpaksa merayu merengek untuk bersekolah. Alhamdulilah dengan usaha sendiri dan persetujuan nenek, ibu berjaya menjejakkan kaki ke sekolah. Tahun 1930an bukanlah suatu kebiasaan untuk melihat kanak-kanak perempuan berada di sekolah. Awal belasan tahun dan tamat persekolahan, Ibu bekerja sebagai guru agama di sebuah sekolah di Melur. Sesuai kematangan usia, ibu dikahwinkan dengan seorang pemuda kampung, kalau tak silap namanya Awang. Sesuatu yang mengelikan hati ialah menurut ibu, beliau kekal dara lantaran kebencian terhadap suaminya itu dan minta diceraikan. Alasan ibu dia tidak dapat menerima lelaki tersebut kerana dia buta huruf dan tidak tahu membaca berbeza dengan ibu.
Pada pengamatan mata kasar saya pewatakan dan peribadi ibu saya adalah begini :-
Kurus, tidak tinggi dan tidak rendah, berkulit sawo matang, mudah di bawa berbincang, cerdik, kuat usaha dan penuh daya juang untuk hidup. Angin dan emosinya sentiasa stabil, tidak mudah mengamuk cuma leterannya akan menyanyi di telinga kalau anak-anak malas belajar atau membantunya. Suka bercakap dan memberikan pendapat. Ibu seorang yang taat dan patuh pada suami walaupun ada ketika dan masanya dia tidak perlu berbuat demikian. Ibu seorang yang lemah lembut tapi jiwanya keras. Mungkin kepayahan hidup di zamannya membuat diri keras. Ibu juga dalam ilmu akhiratnya yang sedikit sebanyak medidik kami untuk tidak jauh tersasar.
Bapa saya. Ishak Iberahim. Berasal dari Rantau Panjang dan dilahirkan pada tahun 1942. Ia bapa saya muda enam tahun dari ibu dan ini adalah sesuatu yang mengejutkan kerana jika dibandingkan dengan zamannya si suami lebih ketara beristeri muda yang jarak usianya bukan setahun dua tapi puluhan tahun. Ibu bapa saya adalah antara yang berbeza. Saya tak pernah tau dan silapnya tak pernah bertanya macamana mereka berjumpa dan boleh berkahwin. Apa yang pasti mereka disatukan atas rasa cinta dan pada tahun 1963 lahirlah buah cinta mereka yang pertama.
Perwatakkan bapa saya pula adalah sebegini :
Bapa dan Ibu saya adalah 2 orang individu yang terlalu kontra sifat dan sikapnya. Rasanya inilah penyebab utama mereka masih kekal bersama. Bapa seorang yang agak berisi, berperut buncit(Pemerhatian saya hari ini bapa suka makan bersulam air, rasanya inilah penyebab utama), berkulit putih dan pendiam. Saya tak pasti fizikalnya ketika muda belia tetapi seingat akal, begitulah fizikalnya ketika saya sudah boleh mengenal apa itu A, B, C. Bapa seorang panas baran, tidak sabar, mudah gelisah dan tidak stabil emosinya. Saya tak pasti sikap dan sifat bapa yang lain kerana sepanjang ibu mengandungkan saya sehinggalah berusia 30 tahun, bapa sudah membawa diri untuk bekerja di Jerantut Pahang. Secara logiknya tentulah kami lebih akrab dan mengenali ibu. Tapi di masa dan ketika ini bapa sudah lembut hati dan jiwanya, penyayang, terbuka dan memahami jiwa anak-anaknya. Mungkin juga di saat dan ketika ini bapa ingin menebus semula tanggungjawabnya sebagai bapa yang selama 30 tahun terabai.
BERSAMBUNG....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment