Azamku untuk menulis masih tersemat rapi, entah bila akan terlerai.Aku sebenarnya suka dan terlalu suka membaca karya orang lain, mengintai pengalaman orang dan mengembara melalui kacamata orang. Dulu aku suka membaca hanya untuk mengisi masa lapang dan kini aku ketiadaan masa lantaran terlalu suka membaca. Pintaku biarlah ia membuah kepada sesuatu yang baik dan bakal diwarisi/dicontohi oleh generasiku yang akan datang.
Aku tidak mengimpikan sebuah karya yang agong, cukup sekadar sekiranya aku boleh menulis sehebat Andrea Hirata, Fatimah Busu, Zaharah Nawawi, Abdullah Hussien, Azizi Abdullah dan lain-lain yang boleh mengoncang sanubariku. Aku terlalu suka membaca autobiografi, kisah benar, pengalaman hidup dan apa sahaja yang berbentuk kreatif. Andrea Hirata ialah penulis terbaru yang berjaya mengetuk pintu hatiku untuk membaca karya Indonesia(itupun setelah dialih bahasa). Andrea seorang penulis yang menulis dari kata hati, penulis yang tiada ilmu penulisan, menulis sesuatu yang jarang ditulis orang dengan gaya bahasa yang belum pernah aku baca. Tulisannya membuat aku berfikir, tersindir dalam ketawa, tersenyum dalam kelucuan dan terharu dalam kekaguman. Aku belum pernah membaca karya yang ditulis sebegitu rapi dan teliti, tidak berbentuk motivasi tetapi terasa terisi. Bolehkah aku menulis seperti Andrea, rasanya tidak dan cukuplah hanya ada seorang Andrea Hirata.
Kesibukkan kerja juga membelenggu aku dari meneruskan hasrat ini. Tapi ini semuanya alasan kerana pepatah ada mengatakan `kalau hendak seribu daya'. Aku malas menulis di rumah berdasarkan faktor ketiadaan pc, masaku untuk membaca terhalang, aku sudah penat mengadap pc di pejabat dan lain-lain alasan remeh. Kalu macam ini bila masa aku akan menulis?? Nampaknya akan kutunggu lagi agar keinginan ini betul-betul membuak dan tidak dapat dihalang. Untuk sementara ini biarlah aku menghargai karya orang kerana terasa alangkan ruginya sekiranya sebuah karya yang hebat tidak dibaca dan dihayati malah dibiarkan begitu sahaja.